Kehadiran Wan Kuzri mampu bantu perkuat skuad B-18 negara

Kehadiran pemain Akademi Bola Sepak St Louis, Amerika Syarikat, Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal akan membantu memperkukuhkan skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara menjelang pusingan akhir Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober ini.

Ketua jurulatih skuad B-19, Brad Maloney, bagaimanapun, berkata adalah terlalu awal untuk menilai kualiti dan sumbangan pemain tengah berusia 18 tahun itu yang masih menjalani kuarantin Covid-19 selepas pulang dari Amerika Syarikat, minggu lalu.

“Saya tidak pasti bila dia akan mengikuti latihan tetapi kami ingin melihatnya secepat mungkin.

“Dari apa yang saya lihat, dia adalah pemain berkualiti sejak berlatih dengan pasukan senior di Amerika Syarikat…jadi saya rasa dia boleh menjadi aset berharga bagi skuad negara,” katanya kepada pemberita semasa kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini.

Wan Ahmad Kuzri, yang bermain untuk kelab St Louis FC dalam Divisyen Dua Kejuaraan USL di Amerika Syarikat, merupakan adik kepada Wan Kuzain yang beraksi untuk Sporting Kansas City dalam Liga Major di negara itu.

Sementara itu, Maloney, berkata beliau memberi tumpuan untuk meningkatkan kekuatan mental dan fizikal 34 pemain dalam kem latihan yang bermula sejak Isnin lalu.

Jurulatih warga Australia itu berkata beliau akan terus memantau kemajuan semua pemain sebelum kumpulan kedua pemain menyertai kem latihan tidak lama lagi.

“Kami sedang dalam proses memastikan pemain dalam tahap kecergasan berbeza dan sudah tentu kami sedang berusaha meningkatkan kemampuan pada masa ini.

“Saya faham mereka tidak menjalani latihan intensiti tinggi untuk waktu yang lama. Oleh itu kami berusaha secara perlahan-lahan untuk mencapai tahap yang diinginkan,” katanya.

Kejuaraan B-19 AFC 2020 dari 14 hingga 31 Oktober ini, menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama bekas juara, Qatar, selain negara yang sedang meningkat, Tajikistan dan Yaman.

Kejuaraan tersebut merupakan medan kelayakan ke Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2021 di Indonesia dan skuad B-18 kebangsaan menyasarkan muncul pasukan negara pertama layak secara merit beraksi di Piala Dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here