Sebanyak 37 laporan polis diterima di seluruh Sarawak setakat Isnin terhadap seorang pemilik akaun Facebook susulan video yang dimuat naiknya dikatakan menghina agama Kristian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata kesemua laporan tersebut diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan kertas siasatan telah dibuka.
Menurutnya, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah (D5) Bukit Aman.
“Antara intipati video adalah kenyataan tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah membenarkan kalimah Allah digunakan dalam kitab Bible dan individu dalam video tersebut juga menyeru orang Melayu dan Islam menentang isu penggunaan kalimah Allah serta mengeluarkan kenyataan agar semua gereja ditutup,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian internet).
“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar berhati-hati mengeluarkan apa-apa kenyataan agar tidak menyinggung perasaan agama dan kaum tertentu.
“Jika tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara maka hendaklah menggunakan saluran yang betul dan berdasarkan undang-undang,” tegasnya.