Peniaga durian merosakkan harta benda awam

Seorang peniaga durian di Jalan Kilang, Setapak di sini yang diberikan permit perniagaan sementara namun bertindak merosakkan harta benda awam.

Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima aduan berhubung perbuatan peniaga tersebut daripada orang awam.

Menurut kenyataan itu, peniaga durian terbabit didapati merosakkan pagar keselamatan yang dibina DBKL dengan bertindak memotongnya.

Difahamkan, peniaga terbabit bertindak demikian bagi memudahkannya berniaga buah tersebut di tepi jalan.

”Kami dah bantu anda untuk berniaga…kenapa perlu merosakkan harta benda awam….?

“Peniaga yang diberikan permit untuk berniaga sementara diingatkan untuk tidak merosakkan harta benda awam di kawasan perniagaan mereka. Salah laku ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM2,000,” menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook DBKL hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, DBKL mengeluarkan notis kompaun atas kesalahan merosakkan harta benda Datuk Bandar Kuala Lumpur di bawah seksyen UUK Vandalisme WPKL 1991 UUK 3 (e) kepada peniaga terbabit.

Dalam pada itu, DBKL meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan musnah laku (vandalism) terhadap harta benda awam supaya berhubung dengan Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1800883255.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here