Kuala Lumpur, Jun-
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa melancarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu yang dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan.
Pada majlis diadakan di Lobi Parlimen itu, Anwar turut menerima PMA daripada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban sebagai gimik pelancaran.
Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan isteri Perdana Menterim Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan, pengenalan PMA struktur baharu itu merupakan satu langkah transformasi penting dalam memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara, di samping memberikan lebih kemudahan dan nilai tambah kepada rakyat.
“Kadar bayaran bagi PMA dengan tempoh sah laku 10 tahun adalah sebanyak RM350 manakala untuk tempoh sah laku lima tahun kekal RM200 dan pengenalan tempoh sah laku 10 tahun memberi penjimatan sebanyak RM50 kepada pemohon,” menurut kenyataan itu.
KDN memaklumkan bagi memastikan peralihan operasi berjalan dengan lancar, pelaksanan PMA struktur baharu akan dilaksanakan secara berperingkat di 71 pejabat pasport seluruh negara mulai Julai ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak tergesa-gesa menukar pasport sedia ada sekiranya dokumen tersebut masih sah laku dan pasport sedia masih sah digunakan sehingga enam bulan sebelum tempoh tamat.



















