Gangguan air: Lori tangki digerakkan, pengguna disaran rujuk laman sesawang

Lori tangki bagi membekalkan air bersih digerakkan bermula hari ini ke hospital dan pusat dialisis di kawasan yang mengalami gangguan air.

Mengikut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), bantuan ke kawasan perumahan pula dilakukan pada Khamis dan Jumaat ini.

Lori tangki membekalkan air bersih digerakkan bagi membantu penduduk dan kawasan terjejas akibat gangguan air disebabkan penambahbaikan dan penggantian aset kritikal di Loji Rawatan Air (LRA) SSP3.

Bermula hari ini hingga Jumaat, sebanyak 290 kawasan di wilayah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat mengalami gangguan susulan kerja penambahbaikan dan penggantian aset kritikal di Loji Rawatan Air (LRA) mulai jam 9 pagi ini.

Kerja di LRA SSP3 bertujuan membolehkan loji beroperasi lebih cekap dan memastikan peralatan berada dalam keadaan baik.

Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan terjejas, bergantung kepada lokasi premis pelanggan.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://www.hentitugasssp3.airselangor.com/ untuk merujuk kawasan mengalami gangguan air bagi melihat peta kawasan terjejas .

Air Selangor menjangkakan LRA SSP3 beroperasi semula dan menyalurkan bekalan air mulai jam 9 pagi pada 15 Julai.

Sebanyak lapan pusat khidmat setempat (PKS) dibuka dengan menyediakan enam pili air awam mulai 16 hingga 17 Julai untuk kemudahan.

Bagi pelanggan komersial pula, pembelian air menggunakan lori tangki air dibuka di dua stesen pengisian air setempat.

Pelanggan komersial boleh membuat pembayaran pembelian air di sepuluh kaunter khidmat pelanggan Air Selangor.

Senarai lengkap kawasan terjejas, lokasi PKS, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh diakses melalui saluran rasmi media sosial, laman sesawang serta aplikasi telefon pintar Air Selangor.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh merujuk laman sesawang Air Selangor atau aplikasi telefon pintar yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store dan Apple App store.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here