Rakyat terima semula wang khairat kematian mulai tahun depan

Pemberian wang khairat kematian di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) akan dilaksanakan semula tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Menjelaskan hal itu akan diumumkan pada sesi belanjawan November ini, Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan Kerajaan Negeri tidak pernah memansuhkan program itu, sebaliknya mereka meneliti dan membuat penjajaran semula.

“Jumlah wang khairat kematian ini mungkin tidak sebanyak dahulu, tetapi kita sentiasa menghargai rakyat di negeri ini iaitu yang masih hidup diberi bantuan baucar Jom Shopping dan apabila sudah meninggal, keluarga akan diberi wang khairat untuk menguruskan jenazah.

“Itulah semangatnya, hidup senang, mati pun senang, yang hidup kita layani dan apabila sudah mati, kita hormati dan beri penghargaan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri Ijok, Dr Idris Ahmad pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau menambah Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) akan menguruskan program tersebut.

1 Mei tahun lalu, Kerajaan Negeri menghentikan pemberian wang tersebut dan digantikan dengan baucar Jom Shopping.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here