DADAH: Dua lelaki ditahan di KLIA2

Cubaan  menyeludup dadah ke Sarawak digagalkan selepas dua lelaki dicekup secara berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, operasi sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD KLIA itu turut merampas dadah jenis syabu seberat kira-kira 11.63 kilogram (kg) dianggar bernilai RM440,000.

Zulkifli memberitahu, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 3.45 petang di Balai Perlepasan KLIA2 ke atas suspek berusia 22 tahun dan merampas lima bungkusan teh disyaki berisi dadah jenis syabu seberat 5.29kg dalam bagasi yang dibawa bersamanya.

“Susulan itu, seorang penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Sarawak berusia 19 tahun yang juga merupakan kenalan suspek pertama diberkas kira-kira jam 4.15 petang di pintu perlepasan KLIA2.

“Pemeriksaan bagasi yang dibawa suspek menemui syabu seberat kira-kira 6.34 kg,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan AMC, di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek yang dipercayai diupah RM600 bagi sekilogram dadah oleh sindiket yang beroperasi di Sarawak itu cuba menyeludup dadah ke negeri terbabit.

Katanya, polis percaya suspek cuba mengambil kesempatan ketika Covid-19 yang kononnya kurang pengawasan pihak berkuat kuasa di kawasan lapangan terbang.

“Semakan juga mendapati, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan disyaki baru kali pertama terlibat sebagai ‘keldai dadah’,” katanya.

Tambahnya, operasi dan tindakan lebih mantap akan diteruskan bagi membanteras kegiatan penyeludupan melalui lapangan terbang. Masyarakat diharap dapat membantu polis salurkan maklumat sekiranya mengetahui individu atau sindiket yang melakukan kegiatan penyeludupan di KLIA.

“Suspek direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here