Lelaki Ditahan Cuba Seludup 15 Ekor Lembu Di Sungai Golok

Seorang lelaki ditahan kerana disyaki cuba menyeludup masuk 15 ekor lembu yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000 dari Sungai Golok ke sempadan negara ini di Rantau Panjang, Kelantan, semalam.

Menurut kenyataan Markas Briged Kelapan Infantri, kejadian berlaku apabila pasukan Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja mendengar bunyi percikan air dari arah sungai berkenaan dan mendapati tiga lelaki sedang mengheret kesemua lembu itu untuk masuk ke sempadan negara.

Pasukan telah melakukan serbuan dan berjaya menahan seorang lelaki pada 6.40 petang di Kampung Rahmat, Tanjung Baru, Rantau Panjang bagaimanapun dua lagi individu telah meloloskan diri, menurut kenyataan itu hari ini.

”Hasil serbuan dan pemeriksaan mendapati sebanyak 15 ekor lembu dan dua motosikal jenama Honda  dirampas.

”Lelaki yang ditahan dibawa ke Balai Polis Lalang Pepuyu untuk tindakan lanjut manakala haiwan dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Rantau Panjang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut lembu berkenaan dipercayai untuk dijual di dalam negara memandangkan harganya yang murah dari Thailand selain mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan warga tempatan.

”Rampasan secara besar-besaran ini jelas memperlihatkan penyeludupan lembu ini yang dijangka berulang berikutan sambutan Aidiladha tidak lama lagi,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here