David De Gea masih penjaga gol terbaik dunia

PENJAGA gol Manchester United, David de Gea masih dianggap sebagai penjaga gol terbaik dunia walaupun sedang berada pada prestasi kurang baik pada ketika ini.

Penjaga gol Leicester City, Kasper Schmeichel berkata, seseorang penjaga gol tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan dan melalui prestasi buruk, namun ia bukanlah penghujung karier untuk de Gea.

“Keadaan dialami de Gea sangat sukar. Bukan saya tidak menghormati seseorang pengulas bola sepak yang juga bekas pemain, tetapi mereka tidak pernah berdiri di gawang dan menjadi penjaga gol.

“Biasanya pengulas ini memberikan gambaran bahawa penjaga gol melakukan kesilapan dan ia memberikan impak besar kepada penonton. Mereka cuba memberitahu apa kesilapan yang dilakukan oleh seseorang, tetapi mereka tidak pernah menjadi penjaga gol. Adakah mereka tahu apa perasaan ketika menjadi penjaga gol?

“Kadang-kadang ia menjadi perkara yang sangat berbahaya kerana ia memberi kesan kepada pemain dan dalam kes ini ia memberikan impak negatif kepada de Gea,” katanya.

Sebelum ini, de Gea dikritik ekoran kesilapan yang dilakukan ketika kekalahan 1-3 di tangan Chelsea dalam aksi separuh akhir Piala FA baru-baru ini.

Ia sekali gus timbul desakan yang mahu pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menjual de Gea pada jendela perpindahan akan datang dan menjadikan penjaga gol yang ketika ini dipinjamkan ke Sheffield United, Dean Henderson sebagai penjaga gawang utama The Red Devils.

Bagaimanapun, Schmeichel berharap United tidak terburu-buru untuk memberikan posisi utama tersebut kepada Henderson.

“Henderson menjalani musim yang menakjubkan dan sehingga sekarang dia berkembang dengan baik. Saya berharap dia akan mendapat satu atau dua musim lagi di Sheffield.

“Namun, untuk sekarang, David de Gea masih seorang penjaga gol terbaik dunia. Penjaga gol adalah posisi yang perlu dimainkan bersendirian dan bukannya seperti posisi lain yang ada empat pemain sekali gus. Sebab itu, jika ada kesilapan dilakukan ia akan nampak ketara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here