Md Rayhan Kabir Berjaya Ditahan

Lelaki warga Bangladesh dikenali Md Rayhan Kabir yang diburu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), bagi membantu siasatan berkaitan dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ sebelum ini, ditahan agensi terbabit petang semalam.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid yang mengesahkan perkara itu berkata, suspek berusia 25 tahun itu, kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis pada pukul 6 petang.

“Ya, betul telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.. Jam 6 petang tadi,” katanya.

Jabatan Imigresen Malaysia sebelum ini memohon bantuan orang awam menjejaki individu berkenaan yang alamat terakhirnya di Sirhan Legacy Sdn Bhd B-7-9, Menara Uncang Emas, di Jalan Loke Yew Kuala Lumpur, bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Sebelum ini, media melaporkan Rayhan telah membuat dakwaan berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin, ketika negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagi membanteras penularan COVID-19 dalam dokumentari terbitan Al Jazeera.

Susulan itu, pihak polis turut memulakan siasatan terhadap stesen penyiaran antarabangsa itu selepas penyiaran dokumentari itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here