Akta Hasutan masih relevan, kata menteri KDN

Akta Hasutan 1948 masih relevan dan tidak akan dimansuhkan dengan mengambil kira struktur masyarakat terdiri daripada pelbagai agama serta bangsa.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, penyebaran maklumat atau berita berunsur hasutan melalui media sosial secara tidak bertanggungjawab dalam kalangan rakyat dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Kebelakangan ini penyebaran maklumat palsu atau berita berunsur hasutan semakin berleluasa sehingga boleh mewujudkan suasana tidak tenteram khususnya apabila berita itu menyentuh isu sensitif dalam kalangan masyarakat.

“Berdasarkan statistik, terdapat trend peningkatan kes 2 tahun kebelakangan ini yang melibatkan kesalahan menghasut terhadap institusi Diraja, kaum, agama dan hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, atau hak kedaulatan yang dilindungi oleh Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang meminta Hamzah menyatakan sama ada Akta Hasutan akan dimansuhkan dan status tindakan untuk tujuan itu.

Dalam pada itu, Hamzah berkata bagi tempoh 2015 hingga 1 Julai lalu, sebanyak 300 kertas siasatan dibuka mengikut Akta Hasutan 1948 membabitkan 41 kes berjaya dituduh, 171 kes diputuskan tiada tindakan lanjut (NFA), 54 kes masih dalam siasatan dan 34 kes diputuskan kemaskini untuk simpan (KUS).

Januari lalu, kerajaan Pakatan Harapan berkata akan meneruskan kajian untuk meminda beberapa akta di bawah bidang kuasanya, termasuk Akta Hasutan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here