NGO cadang PN rangka Belanjawan 2021 dengan pembangkang

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mencadangkan agar perancangan Belanjawan 2021 dibuat secara bersama antara blok kerajaan yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, kesemua ahli Parlimen pembangkang dengan itu perlu diberikan ruang akses sama rata dengan ahli Parlimen kerajaan.

Ini katanya, membolehkan pandangan serta sumbang saran mereka diterima supaya belanjawan yang berorientasikan rakyat dapat diketengahkan.

“ABIM menilai sidang Parlimen November ini sebagai yang amat kritikal disebabkan adanya pembentangan Belanjawan 2021 yang memerlukan kelulusan ahli-ahli Dewan Rakyat secara majoriti.

“Memandangkan kerajaan sedia ada memerlukan dukungan pembangkang untuk mengukuhkan legitimasinya, ABIM mencadangkan supaya pembentangan Belanjawan 2021 dibuat secara bersama antara pihak kerajaan dan pembangkang.

“Pembentangan belanjawan konsensus ini harus membabitkan kepentingan kedua-dua belah pihak dengan agenda rakyat menjadi agenda bersama dalam menangani dampak penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru Mohd Faisal berkata, satu Jawatankuasa khas bipartisan yang bersifat konsensus sepertimana yang dibenarkan di bawah Peraturan Mesyuarat 81(1) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat harus diwujudkan dengan melibatkan wakil kerajaan dan pembangkang.

Beliau berkata, Jawatankuasa itu kelak bertujuan untuk merangka, memantau serta melaksanakan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 yang perlu ditubuhkan sebagai komitmen dan penglibatan secara berkesan.

Selain itu katanya, peruntukan untuk kesemua ahli Parlimen merentas parti perlulah saksama dan adil tanpa wujud sebarang diskriminasi antara kerajaan dan pembangkang.

“Saranan ini juga bertepatan dengan semangat Titah Baginda Yang di-Pertuan Agong yang memohon seluruh ahli politik untuk sama-sama menumpukan perhatian menjaga kepentingan rakyat.

“Pendekatan Belanjawan Konsensus 2021 juga selari dengan intipati penyataan Majlis Raja-Raja Melayu pada 25 Oktober 2020 yang menekankan pentingnya mekanisme semak dan imbang yang perlu dihormati,” katanya lagi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here