Pecah pintu kaca bangunan MPTI – Warga emas ditahan

Teluk Intan, Mei-
Seorang warga emas ditahan selepas dipercayai bertindak agresif memecahkan pintu kaca utama bangunan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) pagi semalam.

Ketua Polis Hilir Perak Bakri Zainal Abidin berkata, polis menerima laporan pada 10.35 pagi berhubung kejadian seorang lelaki mengamuk dan merosakkan harta benda awam di bangunan terbabit.

Katanya, lelaki berusia 63 tahun itu datang ke bangunan MPTI menaiki motosikal dan meletakkan kenderaannya di hadapan bangunan sebelum bertindak memecahkan kedua-dua pintu kaca utama bangunan itu menggunakan tukul besi yang dibawanya.

“Lelaki itu kemudian cuba meninggalkan bangunan berkenaan menuju ke kedainya di Jalan Bandar, Teluk Intan, namun sempat ditahan untuk diserahkan pada pihak polis,” katanya.

Bakri berkata, lelaki itu memaklumkan dia tidak puas hati dengan tindakan MPTI memasang khemah di depan kedai jamnya semasa sambutan sebuah perayaan, menghalang pandangan pelanggan.

Lelaki itu mendakwa dia telah mengadu kepada MPTI dan polis beberapa kali sebelum ini, namun tiada tindakan diambil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here