OKT mati dalam tahanan polis: 47 saksi dipanggil

Seramai 47 orang saksi telah dipanggil dan dirakamkan percakapan berhubung kematian Orang Kena Tangkap (OKT), Muhammad Afis Ahmad ketika dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan pada 28 Januari lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan secara telus dan profesional untuk mengenal pasti punca kematiannya.

Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah di bawah penyeliaan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kedah telah mengambil alih kes tersebut bagi menjalankan siasatan secara menyeluruh.

“Siasatan dijalankan secara menyeluruh dari sudut kekerasan, kecuaian, salah laku pegawai dan anggota yang terlibat termasuk kemungkinan kecederaan berlaku akibat pergelutan semasa tangkapan dan seumpamanya.

“Pada 29 Januari lalu, post mortem telah dijalankan oleh pakar patologi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Punca kematian ialah ‘blunt force trauma’ pada bahagian kepala. Laporan penuh post mortem masih belum diperolehi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada 27 Januari lalu, polis menjalankan tangkapan ke atas Allahyarham bersabit siasatan kes curi dan menyamar sebagai pegawai polis di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

“Semasa tangkapan dibuat, arwah telah bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan yang menyebabkan kecederaan pada bahagian muka, telinga dan dahinya,” katanya.

Selepas tangkapan dibuat, katanya, Muhammad Afis telah dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Kilang Papan, Gurun untuk siasatan lanjut.

“Semasa pemeriksaan, keluarga arwah ada bersama dan menyaksikan pemeriksaan yang dijalankan. Arwah juga ada bercakap dengan keluarga dan ibunya telah memberi air minum kepada arwah. Tiada sebarang rampasan dibuat dalam pemeriksaan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, Allahyarham telah diserahkan kepada polis IPD Yan untuk tindakan lanjut dan seterusnya dimasukkan ke dalam lokap dengan tujuan untuk mendapatkan reman keesokan harinya.

“Pada jam 12.30 tengah malam 28 Januari lalu, arwah didapati tidak sedarkan diri dan telah dihantar ke Hospital Yan. Pada jam 1.10 pagi hari yang sama, arwah telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya.

Hasanuddin berkata, semasa hayatnya, Muhammad Afis pernah berkhidmat sebagai Sukarelawan Polis di IPD Kuala Muda pada tahun 2013 hingga 2014, namun selepas itu khidmatnya ditamatkan pada tahun 2014 kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, OKT itu juga sebelum ini pernah ditangkap sebanyak lapan kali atas kesalahan dadah dan jenayah serta pernah dikenakan hukuman oleh mahkamah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here