Gajah liar berjaya dipindah

Seekor gajah jantan berjaya dipindahkan ke habitatnya di Hutan Simpan Ulu Segama – Malua, di sini.

Kerja-kerja pemindahan gajah berumur lebih kurang 12 tahun itu dilakukan tujuh petugas terdiri empat dari Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) Lahad Datu dan tiga Unit Penyelamatan Hidupan Liar (WRU).

Menurut Pegawai JHLS Daerah Lahad Datu Silvester Saimin, gajah berkenaan ditangkap ketika merayau bersendirian di suatu kawasan di Batu 15 Jalan Sandakan – Lahad Datu berada dalam keadaan sihat semasa dipindahkan.

“Sebuah kenderaan digunakan dalam proses pemindahan ini dan atas kepakaran dan pengalaman yang ada pada kakitangan terlibat telah menjadikan penugasan ini berjaya dilaksanakan,” katanya di sini.

Beliau mendedahkan, gajah dengan ketinggian 182cm itu ditangkap pada 29 Julai telah dikesan berada di beberapa ladang kelapa sawit secara solo.

  Silvester berkata, gajah Pygmy Borneo yang dilindungi sepenuhnya kerajaan dan disenaraikan dalam Jadual 1 Spesies Dilindungi Sepenuhnya Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 itu diharap dapat menyesuaikan diri di habitat baharunya.

”Gajah itu tidak dipasang kolar pengesan satelit kerana dia jantan tunggal dan perkembangan terkininya sentiasa dalam pemantauan,” katanya.

Katanya, hutan simpan yang menjadi habitat baharu gajah itu dilihat sesuai kerana terdapat banyak sumber makanan yang ada di situ.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here