Warisan dakwa PN dalang usaha guling Kerajaan Negeri Sabah

Parti Warisan Sabah (Warisan) mendakwa percubaan mengguling Kerajaan Negeri Sabah diketuai bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman minggu lalu merupakan agenda yang dirancang rapi oleh Kerajaan Pusat di bawah Perikatan Nasional (PN).

Menurut Ketua Penerangan Warisan, Datuk Dr. Yusof Yacob, Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Hamzah Zainudin dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Nardin Awang (gambar atas) ialah perancang utama dalam konspirasi politik hingga berlakunya wakil rakyat kerajaan melompat menyokong Musa.

Dengan situasi itu, katanya, ia kemudiannya telah mendorong Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri pada 29 Julai lalu.

“Yang berlaku minggu lalu ialah wakil-wakil rakyat melompat meninggalkan parti kerajaan setelah `dibeli’ dan dijanjikan pelbagai jawatan menarik sekali gus dengan jelas telah membelakangkan kehendak rakyat.

“Mereka ini meraih habuan lumayan setelah menjual diri namun rakyat yang mereka wakili dapat apa,” soal beliau.

Mengenai pemilihan bakal calon Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-15 kali ini, Dr. Yusof menjelaskan hal berkenaan akan diperhalusi sebaik mungkin bagi memastikan bakal calon baharu mempunyai integriti yang tinggi serta memiliki taat setia kepada parti.

“Wakil-wakil rakyat yang tamak untuk mendapat habuan wang ringgit demi kelangsungan poket sendiri tidak akan mendapat kepercayaan daripada mana-mana parti politik, sebaliknya tindakan jijik mereka akan sentiasa terpahat di hati rakyat Sabah.

“Justeru, saya yakin pucuk pimpinan parti tidak akan berkompromi dengan pemimpin yang tiada pendirian dan bakal menampilkan muka baharu untuk bertanding mempertahankan kerusi yang dikuasai sebelum ini.

“Pemimpin yang lebih mementingkan habuan wang ringgit serta mudah dijual beli tidak akan ada tempat dalam Warisan,” tambah beliau.

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here