Kuala Lumpur, Apl-
Seramai 111 mangsa mendapatkan rawatan di hospital susulan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya semalam dengan 13 daripadanya berada di zon merah.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata daripada jumlah berkenaan, 55 mangsa menerima rawatan di zon kuning manakala 43 lagi kategori zon hijau.
“Seramai 75 orang menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah Serdang dan Hospital Cyberjaya manakala 36 mangsa mendapatkan rawatan di hospital lain, antaranya Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh,” katanya di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Subang, hari ini.
Wan Azlan berkata setakat ini seramai 529 mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Masjid Putra Heights membabitkan 485 orang daripada 110 keluarga manakala 44 orang daripada lapan keluarga lagi berteduh di Dewan Serbaguna MBSJ (Camelia).
Sebanyak 235 premis serta 399 kenderaan terjejas dalam kejadian itu.
“Setakat ini polis menerima 59 laporan, antaranya berkaitan rumah dan kenderaan terjejas, kecederaan serta isu tanah,” katanya.





















