Polis Marin rampas pistol, minuman keras dan wang tunai dalam Ops Khas

Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menggagalkan penyeludupan minuman keras dalam satu serbuan Ops Benteng COVID-19 di tebing Sungai Lubuk Weston Beaufort.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata serbuan dijalankan pada jam 4.50 pagi kelmarin sebaik mendapat maklumat berkenaan aktiviti penyeludupan terbabit.

“Semasa serbuan, dua lelaki tempatan masing-masing berumur 36 dan 48 tahun gagal melarikan diri dan berjaya ditahan bersama sebuah lori di kawasan berhampiran.

“Hasil pemeriksaan terhadap lori terbabit menemukan pelbagai jenis minuman keras dipercayai tidak bercukai yang dibawa masuk ke Beaufort melalui Labuan,” katanya.

Tambahnya, pihaknya turut menemukan sepucuk pistol jenis revolver 38 beserta 13 butir peluru serta sejumlah wang tunai RM8,759 dan 100 Dollar Singapura yang dianggarkan berjumlah RM150,492.

“Lori serta pacuan empat roda yang dinaiki suspek semasa menjalankan kegiatan penyeludupan turut ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 manakala kes senjata api disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Orang awam juga dinasihatkan untuk sentiasa menyalurkan maklumat terutama melibatkan jenayah maritim kepada PPM dan kita mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang sentiasa prihatin agar undang-undang sentiasa dipatuhi,” katanya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here