Ipoh, Jun-
Perintah reman terhadap pemandu bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan terbabit dalam nahas mengorbankan 15 nyawa semalam, akan dibuat sebaik beliau keluar dari hospital.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata pemandu berusia 42 tahun itu kini dirawat di Hospital Taiping.
“Kita perlu menunggu dia selesai menerima rawatan di Hospital Taiping sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam sidang media mengenai nahas itu semalam, Noor Hisam dilaporkan berkata, pemandu bas berkenaan mengalami kecederaan di tangan.
Siasatan awal menunjukkan bas berkenaan melanggar kenderaan Perodua Alza dari belakang sebelum pemandu dipercayai gagal mengawal bas lalu terbabas dari jalan di KM53 Lebuhraya Jeli-Gerik.
Seramai 15 pelajar UPSI terkorban dalam nahas itu manakala 27 penuntut lain cedera dan menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Gerik, Hospital Baling dan Hospital Taiping.
























