Telaga Air bakal dibangunkan jadi pusat pelancongan

Kerajaan akan membangunkan secara efektif kawasan Telaga Air sebagai salah satu pusat pelancongan yang menarik, di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana, selain Pantai Damai dan Lundu, Telaga Air berpotensi menjadi pusat pelancongan khasnya penggemar aktiviti memancing dan pelayaran.

“Ketiga-tiga penempatan ini berada tidak jauh dari taman nasional dan keistimewaan ini sukar dijumpai di negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat Pembangunan Telaga Air, oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), di Esplanade Telaga Air, semalam.

Abang Johari turut membuat lawatan di kawasan Telaga Air, untuk meninjau hala tuju bagi membangunkan kawasan Telaga Air sebagai destinasi pelancongan, sekali gus mewujudkan kegiatan ekonomi di kawasan tersebut.

“Lawatan tersebut memberi maklumat baharu bagi tujuan pembangunan seperti tebingan air di sini akan dipanjangkan sehingga 900 meter di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya.

Katanya, ia merupakan salah satu tarikan pelancongan yang begitu menarik dalam ekopelancongan di Sarawak.

Sementara, Telaga Air juga dilihat mempunyai potensi yang baik bagi penggemar sukan memancing dan pada masa yang sama, mereka boleh melihat kawasan tanah lembab yang merupakan tarikan pelancongan kawasan ini.

“Ia bakal menjadi tempat pelancongan tambahan kepada Pantai Damai, kerana pelancong boleh belayar dari Telaga Air ke Pantai Damai atau dari Pantai Damai ke Telaga Air,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, satu perbincangan akan diadakan dengan LCDA dan sektor swasta seperti Kelab Bot Sarawak yang meminta marina ditubuhkan di Telaga Air.

Beliau yang juga Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, selain itu, pembinaan masjid terapung juga bakal merancakkan dan mengembangkan potensi pelancongan di Telaga Air.

Tambah beliau, apabila Jambatan Rambungan selesai, perjalanan antara Teluk Melano dan Telaga Air hanya 40 minit sekali gus merancakkan aktiviti pelancongan tersebut.

Justeru, katanya, Telaga Air mempunyai kepelbagaian sumber semula jadi dan usaha yang patut dilakukan sekarang ialah mengembangkan dan meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan di Telaga Air.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here