Tiada Perarakan Hari Kebangsaan, Saifuddin Galak Rakyat Zahir Patriotisme Di Media Sosial

Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini menyeru rakyat di negara ini agar menghidupkan suasana sambutan Hari Kebangsaan yang akan disambut pada 31 Ogos ini dengan penuh semangat patriotik sekalipun negara sedang berdepan ancaman pandemik COVID-19.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata walaupun tiada perarakan Hari Kebangsaan diadakan pada tahun ini, rakyat boleh meraikan sambutan  secara kreatif dan berkongsi gambar atau video  menerusi media sosial.

“Kita galakkan rakyat ambil gambar dan video dan kongsikan kreativiti mereka untuk mengekspresikan Hari Kebangsaan. Oleh kerana tiada acara seperti biasa, tidak bermakna kita tidak boleh menghidupkan semangat sambutan negara secara bersama,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Hari Ini yang disiarkan stesen televisyen TV3.

Menurut Saifuddin, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini juga adalah serentak dengan ulang tahun ke-50 Rukun Negara yang dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 9 Julai lepas.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan diadakan di Dataran Pahlawan, Putrajaya pada 31 Ogos dan seterusnya sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept yang akan berlangsung di Sibu, Sarawak.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan berangkat ke Dataran Pahlawan bagi upacara menerima tabik hormat daripada pasukan kawalan keselamatan utama dan seterusnya menyampaikan titah diraja yang akan disiarkan secara langsung.

“Kebiasaannya tiada titah diraja pada Hari Kebangsaan tetapi kerana 50 tahun lepas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada masa itu mengisytiharkan Rukun Negara pada tarikh 31 Ogos, maka kita ambil bersempena ulang tahun 50 tahun itu untuk ucapan titah baginda,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here