Projek terbengkalai ditender semula

KUALA LUMPUR:

Projek menyiapkan baki kerja terbengkalai Hospital Petra Jaya akan ditender semula secara terbuka oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata Kementerian Kewangan melalui surat pada 26 Ogos 2019 telah memutuskan supaya projek tersebut ditender semula secara tender terbuka pra kelayakan di kalangan syarikat-syarikat yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Selain itu, syarikat terbabit juga perlu mempunyai kod bidang kerja B29 iaitu Kerja Bangunan Kesihatan dan sijil kontraktor penyiap bagi pelaksanaan projek terbengkalai sebelum ini.

“Projek ini berada di fasa sekarang, Fasa Perolehan kepada empat petender yang telah lulus di peringkat pra kelayakan dan tarikh tutup tender pada 7 Ogos 2020.

“Projek ini berada dalam peringkat penilaian dan surat terima akan dikeluarkan pada Januari 2021,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr kelvin Yee mengenai status pembinaan hospital berkenaan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai Klinik Kesihatan Jenis 2 Tabuan Jaya, Kuching, Datuk Aaron berkata Lembaga Tender Pusat Persekutuan pada 15 Januari 2020 menetapkan agar projek berkenaan ditender semula selepas petender yang dianugerahkan kontrak berkenaan lewat menghantar surat persetujuan.

Jelas Ahli Parlimen Kanowit itu, proses tender semula kontrak akan dibuat pada September 2020.

“Surat persetujuan dijangka akan dikeluarkan pada Januari 2021 dan projek mungkin akan bermula pada Februari 2021,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here