Tujuh penghuni selamat, rumah musnah terbakar

Sebuah rumah sewa dua tingkat musnah dalam kejadian kebakaran di Jalan Kejatau, di sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.34 pagi.

Menurutnya, beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman diketuai William Baheng terus ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja pemadaman api.

“Setiba di lokasi kejadian didapati api telah memusnahkan keseluruhan rumah tersebut dan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 9.50 pagi.

“Kebakaran turut memusnahkan tiga buah motosikal milik penghuni rumah tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan, saksi di tempat kejadian memberitahu api mula marak bermula dari bahagian dapur.

Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 10.45 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kesemua tujuh penghuni iaitu empat lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berjaya menyelamatkan diri dengan bantuan orang awam.

“Bagaimanapun, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Kebakaran JBPM Sarawak,” katanya.

Hadir sama di lokasi ialah anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here