17,400 orang dapat kerja melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja

Seramai 17,400 orang pekerja berjaya mendapat pekerjaan sejak pendaftaran Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan dibuka pada 15 Jun lalu.

Angka itu meningkat daripada 12,998.

Jumlah ini merangkumi 12,810 orang di bawah umur 40 tahun; 2,462 orang bagi 40 – 60 tahun, 149 OKU dan 1,979 orang Perantis.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, sebanyak RM1.5 bilion telah diperuntukkan untuk program ini bagi menggalakkan pengambilan pekerja oleh majikan.

Untuk Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran yang bertujuan menangani isu pengangguran, kerajaan dengan kerjasama beberapa kementerian dan agensi akan melaksanakan program latihan dan peningkatan kemahiran bagi golongan belia dan penganggur.

Program-program yang bakal dilancarkan ini dianggarkan dapat memanfaatkan hampir 200,000 belia dan penganggur.

Antara agensi yang telah memulakan inisiatif ini ialah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), yang mana HRDF telah menerima sejumlah 9,239 cadangan dari 2,525 penyedia latihan.

Berdasarkan cadangan-cadangan ini, 2,548 majikan akan menawarkan penempatan latihan yang bakal memanfaatkan 244,207 pelatih.

Setakat 14 Ogos 2020, seramai 15,250 pelatih telah mengikuti program-program yang diselaraskan oleh HRDF dan daripada jumlah ini, 14,981 merupakan daripada kumpulan belia.

Tambahnya, NCIA baharu melancarkan program fast track JomKerja@NCER dan JomNiaga@NCERpada 8 Ogos 2020 untuk menangani kumpulan sasaran yang terjejas dan merangsang ekonomi selepas Covid-19.

Sehingga 21 Ogos 2020, seramai 11,690 telah menerima manfaat melalui program yang sedia ada manakala bagi program yang baru dilancarkan sebanyak 370 daripada 8,000 peluang penempatan pekerjaan telah dikenal pasti melalui JomKerja@NCER dan JomNiaga@NCER, kata Tengku Zafrul.

Bagi Program Bantuan Sosial bagi Golongan Mudah Terjejas, kerajaan memperuntukkan RM300 secara ‘one-off’ atau sekali sahaja kepada OKU berdaftar, ibu tunggal, serta sukarelawan Program Khidmat Bantu di Rumah.

Setakat 14 Ogos 2020, sejumlah RM59.14 juta telah disalurkan dan telah memanfaatkan 197,125 penerima iaitu 185,713 OKU berdaftar membabitkan peruntukan: RM55.7 juta, ibu tunggal RM2.9 juta (9,597 penerima) dan Sukarelawan Program Khidmat Bantu di Rumah, RM544,500 (1,815 penerima). 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here