MOH ‘atur’ ujian COVID-19 bagi pengunjung kedai kamera setelah kes jangkitan bersentuhan dengan kakitangan

Kementerian Kesihatan (MOH) akan “mengaturkan” ujian COVID-19 bagi para individu yang mengunjungi sebuah kedai kamera di pusat beli-belah Excelsior pada awal bulan ini selepas satu kes COVID-19 yang dilaporkan pada Khamis (27 Ogos) mungkin bersentuhan dengan seorang kakitangan yang dijangkiti virus tersebut.

Wanita rakyat tempatan berusia 31 tahun itu adalah antara dua kes jangkitan dalam masyarakat yang dilaporkan pada Khamis oleh MOH dan dikesan setelah didiagnosis mengalami jangkitan pernafasan akut.

Siasatan epidemiologi mendapati bahawa wanita tersebut melanggani kedai kamera SLR Revolution di Excelsior pada 17 Ogos, di mana beliau “mungkin bersentuhan” dengan kes sebelumnya, yang bertugas di kedai itu semasa tempoh berjangkit.

Wanita itu pertama kali mengalami gejala jangkitan virus tersebut pada 22 Ogos dan disahkan dijangkiti COVID-19 pada 26 Ogos.

“Risiko berlaku jangkitan pada para pengunjung dinilai sebagai rendah,” menurut MOH. “Namun sebagai langkah berjaga-jaga, MOH akan menghubungi semua individu yang mengunjungi kedai itu antara 15 Ogos dengan 18 Ogos, dan mengaturkan ujian COVID-19 bagi mereka.”

Mereka yang berasa kurang sihat ketika dihubungi akan dibawa ke hospital bagi penilaian perubatan lanjut.

MOH menasihati kesemua pengunjung yang melanggani kedai itu pada tarikh-tarikh yang dinyatakan supaya memantau kesihatan mereka dan mendapatkan nasihat perubatan dengan segera jika mereka mengalami gejala jangkitan pernafasan akut.

Kakitangan yang bertugas di kedai kamera tersebut adalah seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun. Beliau mengalami simptom pada 17 Ogos dan diuji positif pada 20 Ogos. Menurut MOH, beliau keluar bekerja semasa tempoh berjangkit.

Beliau juga terkait dengan satu lagi kes, seorang wanita tempatan berusia 65 tahun yang diuji positif COVID-19 pada 23 Ogos. Beliau sudahpun dikuarantin dan diuji semasa menjalani tempoh kuarantin untuk menentukan statusnya.

Dalam satu catatan Facebook pada 20 Ogos, SLR Revolution menyatakan cawangannya di Excelsior akan ditutup buat sementara waktu selepas seorang kakitangannya disahkan dijangkiti COVID-19.

Ia menambah bahawa para kakitangan yang bekerja di cawangan tersebut akan dikuarantin selama 14 hari dan premis berkenaan akan menjalani proses pembasmian kuman.

Pada 25 Ogos, SLR Revolution menulis dalam satu catatan bahawa kesemua kakitangan dari cawangannya di Excelsior diuji negatif COVID-19, namun mereka tidak akan kembali bekerja sehingga 1 Sep.

Syarikat itu menyatakan pasukannya daripada cawangan di Jurong Point – yang tidak berinteraksi dengan para kakitangan di cawangan Excelsior – akan ditempatkan di Excelsior apabila ia dibuka semula pada Jumaat (28 Ogos).

Secara berasingan, MOH menyatakan pada Khamis bahawa ia turut memasukkan Hab Tampines Kita dan lagi dua kedai di Elias Mall ke dalam senarai tempat awam yang dikunjungi oleh kes COVID-19 dalam masyarakat semasa tempoh berjangkit.

Hab Tampines Kita dikunjungi oleh kes COVID-19 antara pukul 3.00 petang dengan 3.45 petang pada 22 Ogos. Cawangan kedai makanan dan minuman (F&B) 623 dan pasar raya Sheng Siong dikunjungi oleh kes COVID-19 antara pukul 7.45 pagi dengan 9.05 pagi pada 19 Ogos.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here