OKU rayu rumah kecil untuk berteduh

Seorang Pemuzik Busker Orang Kelainan Upaya (OKU) merayu bantuan orang ramai dalam.usahanya membina sebuah rumah kecil untuk berteduh dengan kos RM30,000.

Mohamad Roslan Jajuli,55, kini lumpuh separuh badan akibat satu insiden rompakan di kedai komputernya hampir 20 tahun lalu.

Menurut Mohamad Roslan yang berasal dari Kampung Jalan Kebun di sini, dia kini menyewa di tingkat tiga sebuah pangsapuri di Subang Jaya seorang diri.

“Jika lif rosak, saya sukar menurunkan alat muzik untuk pergi mencari rezeki dengan melakukan busking di SS 19 Subang Jaya dan Banting. Semuanya saya buat sendiri demi sesuap nasi.

“Jadi saya merayu kepada mana mana pihak untuk membantu saya membina rumah kecil di atas tanah saya di sini. Rumah saya yang didiami anak-anak dan bekas isteri saya dekat sini pun sudah uzur kerana tidak dibaik pulih,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa Pelancaran Tabung Rumah Mohamad Roslan Jajuli oleh Persatuan Anak Jati Jalan Kebun dan Aktivis Sosial, Ustaz Mohd.Kusyhairi Abdul Aziz di sini hari ini (26 Ogos).

Katanya lagi, sesiapa yang ingin mengetahui keperitan hidup beliau sebagai OKU dan pemuzik boleh melayari sendiri di Facebook Roslan Jajuli.

“Harapan saya dengan adanya rumah kecil mesra OKU tersebut, saya lebih mudah bergerak untuk melakukan aktiviti sendirian tanpa menyusahkan orang lain.

“Apa yang penting saya ingin dekat dengan anak-anak dan saudara-mara saya.Saya sedar dalam usia sebegini dengan pendapatan tidak menentu, apalah daya saya untuk mencari kos membina rumah walaupun sebanyak RM30,000,”katanya.

Ujarnya lagi, dalam keadaan sekarang dia perlu kuat semangat untuk bekerja bagi memenuhi impiannya walaupun ada bantuan daripada beberapa pihak.

Beliau berharap lebih ramai yang mengikuti Channel You Tube beliau atas nama Roslan Jajuli dengan harapan ia boleh dijadikan sumber pendapatan dan dijadikan modal membina rumah di tapak tanahnya kelak.

Sementara itu menurut Pengerusi Persatuan Anak Jati Jalan Kebun, Yazid Mohidin, pihaknya amat bersimpati dengan nasib yang menimpa Mohamad Roslan dan bertekad membantu beliau membina rumah yang diimpikan.

Mereka yang ingin membantu boleh menyumbang ke akaun:

Bank Simpanan Nasional
1014929000057794
atas nama Mohamad Roslan Jajuli.

Beliau juga boleh dihubungi di talian telefon 018-2421760.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here