Lantikan Yang Dipertua Dewan Negara hari ini

Selepas sidang Dewan Rakyat menutup ‘gelanggang’ pada 27 Ogos lalu, hari ini giliran Dewan Negara pula bersidang sehingga 23 September.

Tumpuan pada hari pertama persidangan dijangka terarah kepada siapa yang bakal dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-18 menggantikan Tan Sri SA Vigneswaran yang tamat perkhidmatan pada 22 Jun lalu.

Mengikut Peraturan-Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Negara, apabila jawatan Yang Dipertua kosong, maka Majlis sebaik-baik cukup bilang Ahlinya, hendaklah memilih Yang Dipertua.

Sekiranya terdapat lebih satu nama, undian harus dilakukan sehingga seorang calon mendapat undi lebih berbanding undi calon atau jumlah undi calon-calon lain.

Selepas pemilihan itu, speaker dan empat Ahli Dewan Negara baharu iaitu Mohamad Apandi Mohamad (lantikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan), Datuk Seri S. Vell Paari (lantikan Yang di-Pertuan Agong) serta Ahmad Yahaya dan Datuk Wira Othman Aziz (lantikan DUN Kedah) dijadualkan mengangkat sumpah.

Majlis angkat sumpah akan diadakan pada 9.45 pagi di Dewan Negara, Blok Utama, Parlimen selepas urusan pemilihan speaker selesai.

Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berkuat kuasa, persidangan kali ini juga dijangka diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Ia termasuk pemakaian pelitup muka, penyediaan dan penggunaan cecair pembasmi kuman serta penjarakan fizikal satu meter antara tempat duduk semasa persidangan berlangsung seperti yang diputuskan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Persidangan kali ini dijangka membahaskan 10 Rang Undang-Undang (RUU) yang telah diluluskan Dewan Rakyat yang bersidang sebelum ini.

Ia termasuk tiga rang undang-undang berkaitan pandemik Covid-19 iaitu Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020; Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 dan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2020. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here