Kawalan kawasan sempadan perairan negara dipertingkat

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor meningkatkan kawalan di kawasan sempadan perairan negara susulan peningkatan kes import Covid-19.

Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata kawalan kini tertumpu di kawasan Pulau Ketam ke jeti Pelabuhan Klang kerana ia dikenal pasti menjadi laluan pendatang asing tanpa izin (Pati) menyeludup masuk.

“Pemeriksaan ke atas penumpang feri dari Pulau Ketam ke jeti Pelabuhan Klang diperketatkan lagi bagi memastikan pendatang asing tidak dapat bolos ke negara kita.

“Lokasi itu dikenal pasti sebagai lorong tikus Pati menyeludup masuk kerana faktor kedudukannya yang sedikit tersorok,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohammad Rosli seramai 180 anggota terlibat dalam kawalan terbabit selain pihaknya menggerakkan aset penting untuk melancarkan pantauan.

“Ini antara langkah diambil bagi memutuskan rantaian Covid-19 selain tidak mahu jangkitan import menular ke negara ini.

“Dalam masa sama, pemeriksaan sepanjang 281 kilometer (KM) persisir pantai serta 7,260KM persegi kawasan jajahan melalui Op Benteng turut digandakan,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kawalan negara perlu diteruskan dan dimantapkan susulan kebolehjangkitan atau R naught Covid-19 negara ini meningkat kepada 1.0, berbanding 0.74 pada 26 Ogos lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here