Jangan jadi mangsa kaum lain demi perpaduan, FDAM membantah iklan Merdeka Ikram

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) membantah sekeras-kerasnya kaedah penyampaian iklan sempena Bulan Kemerdekaan,”Mak Dah Siap” kerana cuba membangkitkan isu perkauman.

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim, berkata meskipun dalam video itu tertulis penafian, ia tetap menyinggung perasaan pelbagai kaum di negara ini yang amat menghormati erti perpaduan dalam hidup bermasyarakat.

Katanya, penerbitan video konsep pesanan khidmat masyarakat (PSA) seperti ini boleh menjejaskan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini yang sekian lama terjalin. Apa yang membimbangkan dan memalukan adalah video ini turut tersebar di media sosial, meskipun video pendek tersebut telah ditarik balik pihak penerbit daripada siaran.

“Mesej video ini sangat tersirat tetapi harus diingat bahawa niat tidak menghalalkan cara. Justeru, jangan memangsakan kaum lain demi perpaduan,” katanya dalam kenyataan.  Dalam pada itu, Ahmad menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak penerbit video itu sebagai pengajaran.

“FDAM berharap nilai perpaduan khususnya maksud Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, dapat dihayati sebaik mungkin setiap anggota masyarakat di negara ini agar setiap rakyat tidak sambil lewa cuba memainkan sentimen perkauman,” katanya.

Iklan “Mak Dah Siap” disiarkan sempena Kempen Bulan Kebangsaan 2021. Ia dihasilkan oleh Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dengan kerjasama Sinar Harian.

Pada penghujung iklan berkenaan, terdapat pesanan agar orang ramai tidak menggunakan perkataan perkauman terkandung dalam video terbabit, dengan mesej anti perkauman di penghujungnya. Iklan berdurasi satu minit itu mula disiarkan di platform media sosial sejak 22 Ogos lalu, bagaimanapun ia telah diturunkan oleh Ikram.

Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Hussamuddin Yaacub memberitahu FMT, Sinar Harian tidak “mempunyai kaitan sama sekali” dalam pembikinan video terbabit, dan pihaknya tidak memuat naik video itu di platform media sosial mereka.

Hussamuddin menjelaskan, Ikram menghubungi Sinar Harian untuk menjadi rakan media dalam kempen Merdeka, dengan mereka bersetuju dalam semangat meraikan Merdeka.Namun, semalam, mereka memuat naik video berkenaan dalam platform dan mahu kami berkongsi bagi pihak kami…pengarang kami berpandangan video itu terlalu sensitif katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here