Tubuh pasukan elit cegah pencemaran sungai langkah betul

Penubuhan pasukan elit bagi mencegah jenayah alam sekitar dalam menangani isu pencemaran secara proaktif dan holistik oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air adalah tindakan betul.

Cadangan menubuhkan pasukan elit ini yang melibatkan beberapa agensi penguatkuasa dalam kementerian akan menunjukkan komitmen sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dalam menangani masalah jenayah alam sekitar ini.

Pengerusi Persatuan Wira Air, Muhammad Dhiyauddin Saharudin berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan kementerian dan persatuan ini bersedia membantu kerajaan dan pihak berkuasa bagi membanteras jenayah alam sekitar semakin meruncing ini.

Menurutnya, jenayah alam sekitar di peringkat global merupakan jenayah terancang yang keempat terbesar selepas dadah, pengubahan wang haram, dan pemerdagangan manusia iaitu mencecah sehingga AS$258 bilion pada 2016.

”Fasa sekarang adalah usaha untuk membanteras jenayah alam sekitar ini yang telah banyak mencemarkan kesuburan bumi negara sendiri dan menjejaskan kebajikan rakyat setempat.

”Oleh itu, sinergi dan gerak kerja yang dicadangkan diperlukan untuk memulihkan dan memelihara kelestarian air khazanah negara,” katanya.

Cadangan pasukan elit itu dibuat selepas 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang membabitkan 1.2 juta pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual pada 3 September lalu.

Gangguan itu berlaku berikutan pencemaran sumber air di Sungai Gong dan ia merupakan kejadian kelima sepanjang tahun 2020 serta berlaku di Selangor sahaja.

Muhammad berkata, pengguna mahukan tindakan selepas acapkali negara kita dikejutkan dengan aktiviti pencemaran alam sekitar ini sehingga menyebabkan loji rawatan air ditutup tapi pada akhirnya pelaku tersebut tidak dikenakan sebarang tindakan sewajarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here