ATM perangi pandemik Covid-19

Mahsuri Food Sdn Bhd yang terkenal sebagai syarikat pengeluar kicap dan sos masakan buatan Malaysia telah berbesar hati menganjurkan majlis jamuan bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Markas Logistik Tentera Darat sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-87 di sini semalam.

Majlis tersebut diadakan bagi menghargai jasa dan bakti anggota tentera yang telah berkhidmat untuk keselamatan serta kedaulatan negara, khususnya anggota logistik yang bertanggungjawab menguruskan bantuan logistik kepada barisan hadapan ATM dalam usaha memerangi pandemik koronavirus (Covid-19).

Seramai 300 anggota hadir pada majlis tersebut yang turut diserikan dengan kehadiran Panglima Logistik Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Md Fuad Abd Jalil dan pegawai kanan di bawah Markas Logistik Tentera Darat.

Syarikat Mahsuri Food Sdn Bhd yang terkenal dengan produk Mahsuri Kicap Manis Pedas diwakili Ketua Komersial Mahsuri Food Sdn Bhd, Mohd Jazri Ikmal Hijaz.

Mohd Jazri berkata, majlis tersebut diadakan sebagai tanda terima kasih daripada pihak syarikat kepada warga barisan hadapan khususnya warga MK Logistik Tentera Darat yang telah bertungkus-lumus membantu barisan hadapan ATM memerangi pandemik Covid-19 dan pada masa yang sama meraikan sambutan Hari Ulang Tahun ATM ke-87.

Menurutnya, Syarikat Mahsuri Food Sdn Bhd telah menyediakan hidangan istimewa hasil daripada produk sos masakan dan kicap yang dikeluarkan Mahsuri Food Sdn Bhd iaitu Mee Goreng Pedas Mahsuri dan Nasi Goreng Mahsuri serta hidangan sampingan iaitu keropok lekor serta pisang goreng bersama Kicap Manis Pedas Mahsuri.

“Syarikat Mahsuri Food Sdn Bhd telah menyumbang sebanyak 200 botol kicap dan sos Mahsuri kepada anggota tentera yang hadir, selain menganjurkan promosi khas dengan harga istimewa untuk produk Mahsuri,” katanya.

Sementara itu, Md Fuad berkata, pihaknya amat berterima kasih dengan Mahsuri Food Sdn Bhd kerana menyediakan jamuan penghargaan kepada Markas Logistik Tentera Darat.

“Saya berharap usaha ini akan diteruskan pada masa akan datang,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here