Umno sokong Anwar bersyarat, kata Dr Mahathir

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjangkakan sokongan Umno terhadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk kerajaan baru pastinya bersyarat.

Dr Mahathir berkata, walau syarat-syarat itu tidak didedahkan, ahli parlimen Umno yang memberi sokongan Anwar pasti setia kepada pemimpinnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak.

“Jika kemahuan dua pemimpin mereka ini tidak dipenuhi, maka mereka akan bertindak sama seperti mereka lakukan kepada (perdana menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menarik balik sokongan dan menjatuhkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengasas parti Pejuang itu berkata situasi dapat dilihat ketika Najib didapati bersalah atas tujuh tuduhan, penyokong Umno mula menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Muhyiddin.

Katanya disebabkan itu Muhyiddin kini perlu membuktikan beliau memiliki sokongan majoriti untuk kekal sebagai perdana menteri.

“Jika Tan Sri Muhyiddin berjaya mengalahkan undi tidak percaya itu maka selepas itu tidak timbul lagi isu dia tidak dapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Jika dia kalah, ahli-ahli Dewan Rakyat berpeluang mengusulkan calon perdana menteri yang baru dan sesiapa yang mendapat majoriti akan dapat menerajui kerajaan tanpa terlalu banyak tekanan berkaitan legitimasi,” katanya.

Zahid semalam berkata beliau tidak menghalang jika ada wakil rakyat Umno yang mahu menyokong Anwar menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya Umno dan Barisan Nasional (BN) bukan parti komponen PN, maka sokongan terhadap kerajaan PN hanya sekadar daripada ahli parlimen sahaja.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here