Dua kapal berlanggar di perairan Melaka

Sebuah kapal pengangkut pasir berlanggar dengan kapal tangki dalam kejadian di 2.4 batu nautika arah barat daya Terminal Tanjung Bruas, Perairan Melaka di sini.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan Jabatan Laut Malaysia (JLM), kejadian berlaku ketika kapal pengangkut pasir MV Ocean Line 5001 dari kawasan tambakan Kota Laksamana dalam perjalanan ke lokasi pengambilan pasir luar Had Pelabuhan Melaka kira-kira 11.30 pagi.

“MV Ocean Line melanggar bahagian tengah sebelah kiri kapal tangki, MT Strovocos yang pada ketika itu sedang berlabuh di dalam Had Pelabuhan Melaka.

“Perlanggaran itu mengakibatkan kedua-dua kapal mengalami kerosakan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan membabitkan anak kapal MT Strovocos dan MV Ocean Line itu,” katanya.

Kapal MV Oceanline 5001 melanggar bahagian tengah sebelah kiri sebuah kapal tangki, MT Strovocos yang sedang berlabuh sauh di dalam Had Pelabuhan Melaka.

Menurut kenyataan itu, kejadian juga tidak menyebabkan kedua-dua kapal tersebut tenggelam atau memberi ancaman pencemaran alam sekitar seperti tumpahan minyak.

“JLM melalui JLM Wilayah Tengah menubuhkan satu pasukan penyiasatan bagi memperincikan kejadian terbabit dan sentiasa memantau situasi tersebut bagi mengekalkan keselamatan pelayaran kapal-kapal serta penjagaan alam sekitar marin dari tercemar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here