Klinik haiwan buang sisa klinikal tepi Sungai Gong berdepan hukuman

Sebuah klinik haiwan yang disyaki membuang sisa klinikal berhampiran Sungai Gong di sini akan diambil tindakan.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar berkata, pihaknya menemui bungkusan plastik makanan haiwan yang mengandungi jarum suntikan, tiub (string), bangkai haiwan serta darah ketika program gotong-royong membina denai di Sungai Gong di sini.

Menurutnya, sampel tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 melibatkan Peraturan Pembuangan Sisa Berjadual

“Mungkin sisa klinikal tersebut dibuang selepas membuat pembedahan terhadap haiwan, namun sisa itu tidak dilupuskan di tempat sepatutnya.

“Tindakan pelaku itu bukan hanya mencemarkan sungai malah boleh menyebabkan risiko kesihatan apabila sisa berjadual tidak diuruskan dengan cara betul dan teratur,” katanya ditemui selepas program gotong-royong membina denai Sungai Gong di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abd Rahman.

Norlin berkata, tindakan pelaku merupakan kesalahan serius dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 dan mandatori penjara.

Katanya lagi, pihaknya mengesan terdapat pembakaran sampah di lokasi berhampiran sungai.

“Pembakaran terbuka tidak dibenar sama sekali dilakukan, jadi menerusi program ini kita harap tiada lagi pembakaran terbuka dan sisa berjadual ditemui di tebing sungai yang menyumbang kepada pencemaran.

“JAS telah mengarahkan pengusaha bengkel yang meletakkan tong terpakai di belakang kedai untuk mengalihkannya bagi mengelak pembiakan denggi dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu Zaini berkata, pembinaan denai di kawasan itu langkah tepat dalam atasi isu pencemaran di sungai berkenaan.

“Pinggir sungai itu tidak digunakan sebaiknya, kita dapati terdapat juga perabot lama yang dibuang di belakang kedai.

“Di Jepun, laluan tepi sungai seperti ini dijadikan tempat joging dan jika kawasan luas di jadikan tempat bermain bola. Konsep itu kita mahu gunakan di kawasan rizab sungai kita,” katanya.

Terdahulu KASA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyasarkan pelaksanaan 10,000 kilometer pembinaan projek Denai Sungai Nasional (National River Trails) seluruh negara menjelang tahun 2030.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here