Isu COVID-19 terus ‘mewarnai’ debat pertama Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) apabila calon daripada parti Demokrat, Senator Kamala Harris mendakwa Presiden AS Donlad Trump menyembunyikan fakta bahawa virus tersebut jenis bawaan udara.
Malah, katanya, meskipun Trump dan naib presiden Mike Pence tahu mengenai perkara itu sejak 28 Januari lalu, mereka tidak mendedahkannya kepada rakyat sehingga mengakibatkan lebih 210,000 warganya terkorban.
“Rakyat AS menyaksikan kegagalan pentadbiran Presiden AS dalam menangani COVID-19 dengan kematian melebihi 210,000 orang di negara itu yang berlaku sejak beberapa bulan lalu.
“Presiden dan Naib Presiden tahu bahawa pandemik ini boleh tersebar melalui udara dan boleh memberi kesan kepada golongan muda.
“Mereka tahu sejak 28 Januari lagi. Namun apa yang berlaku adalah mereka tidak memaklumkan kepada kamu.
“Bayangkan sekiranya kamu tahu pada 28 Januari lagi? Mereka cuba menyembunyikan dan setakat ini mereka tidak ada sebarang perancangan,” katanya pada debat yang berlangsung di University of Utah, di sini, pada Khamis.
Malah Kamala turut mendakwa tindakan Trump tanpa perancangan yang bijak menyebabkan lebih 30 juta rakyat negara itu kehilangan kerja.
Bercakap mengenai strategik nasional dalam membendung wabak itu, katanya, beliau dan regunya, Joe Biden antara lain akan mengambil pendekatan pengesanan kontak secara drastik selain memastikan vaksin diberikan secara percuma kepada semua, sekiranya berjaya dihasilkan.
Ketika menjawab dakwaan Kamala, Pence bagaimanapun menafikan pentadbiran Trump menyembunyikan maklumat mengenai COVID-19.
Sebaliknya, menurut Pence, sekiranya benar dakwaan itu, jutaan rakyat telah terkorban pada ketika ini berbanding lebih 210,000 orang sekarang.