Kuala Lumpur, March-
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong kekal bersalah berkait kes merogol pembantu rumahnya, lima tahun lalu, oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim dengan majoriti 2-1, diketuai Hakim, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Azman Abdullah (menolak rayuan Paul selaku perayu) manakala Hakim, Datuk SM Komathy menentang keputusan majoriti.
Bagaimanapun, mahkamah mengurangkan hukuman penjara daripada 13 tahun kepada lapan tahun dengan mengekalkan hukuman dua sebatan.
Pada 27 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, Datuk Abdul Wahab Mohamed mendapati Paul bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di bilik rumahnya antara jam 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.
Susulan itu, dia yang merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri Perak dihukum penjara 13 tahun serta dua sebatan.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan hukuman bagi pihak pembelaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.




















