Umno pertimbang tarik diri dari kerajaan PN

Mesyuarat Biro Politik Umno malam ini memutuskan parti itu akan mempertimbangkan untuk menarik diri dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika gabungan yang membentuk kerajaan itu tidak memenuhi syarat yang akan mereka tetapkan.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat Biro Politik parti itu di Menara Dato Onn malam ini.

Syarat-syarat yang ditetapkan itu akan disampaikan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin esok.

“Umno membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional dan akan memberi syarat baru kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin,” kata Ahmad dalam kenyataan itu.

Keputusan ini dibuat Umno selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan surat akuan bersumpah (SD) dan surat pengesahan bahawa beliau mempunyai sokongan yang kuat untuk membentuk kerajaan baharu kepada Yang Dipertuan Agong hari ini.

Turut disertakan Anwar adalah surat sokongan dari Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa 30 ahli Parlimen Umno menyokong pencalonan Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Mesyuarat Biro Politik Umno malam ini juga membuat keputusan untuk mendaftar Muafakat Nasional yang mulanya dibentuk dengan Pas dan kemudiannya disertai oleh Bersatu

“Umno akan mencadangkan kepada jawatankuasa pemandu Muafakat Nasional agar Muafakat Nasional didaftar dengan segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah,” katanya selepas mesyuarat yang dipengerusikan oleh presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu.

Mesyuarat malam ini turut disertai oleh semua pengerusi Umno negeri-negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here