Buaya dari Kuala Besut muncul di Pantai Bisikan Bayu

Penduduk di sekitar Pantai Bisikan Bayu, Semerak di sini dikejutkan dengan kehadiran seekor buaya tembaga yang muncul di kawasan berkenaan malam tadi.

‘Kehadiran’ reptilia berukuran lebih tiga meter itu disedari oleh penduduk kira-kira jam 7.30 malam.

Terdahulu, difahamkan buaya itu dilaporkan telah muncul dan kemudian berjemur di pesisir Pantai Kuala Besut, Terengganu pada jam 2.30 petang semalam.

Haiwan itu kemudian dipercayai telah berenang dari Kuala Besut sebelum timbul di Pantai Bisikan Bayu yang terletak kira-kira enam kilometer.

Anggota APM Pasir Puteh menunjukkan buaya tembaga yang muncul di Pantai Bisikan Bayu.

Pegawai Pertahanan Awam Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehadiran pak bedal itu pada jam 9.21 malam.

Katanya, kelibat buaya itu dilihat oleh penduduk kampung yang berada di kawasan pesisiran pantai berkenaan.

“Sejurus tiba, pihak kami terus menyelusuri kawasan pantai sejauh 10 kilometer untuk mengesan reptilia berkenaan.

“Penugasan ini dilakukan bagi memastikan orang ramai menjauhi kawasan terbabit bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Anggota APM Pasir Puteh berada di lokasi kejadian lebih dua jam untuk membuat pemerhatian.

Menurutnya, reptilia tersebut muncul beberapa kali di pesisir pantai, namun tindakan penduduk yang datang menyuluh menyebabkan ia melarikan diri ke dalam laut.

Nik Mohd Nor berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan reptilia itu akan menuju ke Kuala Tok Bali.

Katanya, anggota APM berada di lokasi kejadian lebih dua jam untuk membuat pemerhatian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here