Air pasang besar: Penduduk Kuala Selangor dinasihat jaga keselamatan

Penduduk Kuala Selangor perlu sentiasa berwaspada dengan fenomena air pasang besar kedua yang dijangka melanda daerah itu esok.

Pegawai Daerahnya Mohd Faizal Abdul Raji berkata orang awam dinasihat menjauhi kawasan pesisir pantai yang berisiko dinaiki air.

“Oleh kerana amaran (air pasang besar) sudah dikeluarkan Unit Pengurusan Bencana Negeri, kita berharap penduduk terus mengambil langkah berjaga-jaga dan menitiberatkan aspek keselamatan, nyawa serta harta benda.

“Sekiranya diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara, penduduk perlu mematuhi arahan tersebut bagi memastikan tiada perkara buruk terjadi,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Faizal turut memberi jaminan bantuan makanan dan minuman akan disalurkan segera kepada penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan.

“Berdasarkan pengalaman lalu, insiden benteng pecah menjejaskan beberapa penempatan sahaja tetapi penduduk memilih untuk tinggal di rumah saudara terdekat sementara keadaan kembali pulih.

“Bagaimanapun, kita tetap bersedia untuk menyalurkan bantuan makanan kepada mereka,” katanya lagi.

Fenomena tersebut dijangka melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam pada 17 hingga 19 Oktober.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka kejadian kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here