Angka 30 MP Umno hanya anggaran, kata Khalid

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad tampil memberi reaksi terhadap teguran pihak tertentu berhubung dakwaannya sebelum ini tentang sokongan 30 ahli Parlimen Umno kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, beliau patut hanya menyebut secara umum jumlah ahli Parlimen Umno yang termasuk dalam surat sokongan ketua-ketua parti yang dipersembahkan Anwar kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ada yang tegur, angka 30 MP Umno tidak pernah disebut mana-mana pihak.

“Saya akui ianya anggaran saya dan secara resminya kenyataan saya sepatutnya hanya menyebut ‘surat sokongan ketua-ketua parti dipersembahkan DSAI kepada YDPA termasuk sejumlah MP Umno’,” katanya.

Kelmarin, beliau dalam wawancara dengan Jom Channel menyebut Anwar mempunyai jumlah sokongan yang jelas termasuk 30 ahli Parlimen Umno ketika mempersembahkan jumlah sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam masa sama, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam membidas sindiran Najib Razak dengan menegaskan bekas Presiden Umno itu sebelum ini pun pernah membuat anggaran.

“Macamlah Jibby (Najib) tak pernah buat anggaran.

“Dianggarkan menang PRU14 tapi kalah. Dan bukan kerana rakyat keliru tetapi kerana rakyat jelas dengan apa yang telah dilakukan Jibby,” tempelak Khalid.

Terdahulu, Najib yang menggunakan gelaran Lid untuk Khalid menyarankan agar bekas Menteri Wilayah berkenaan menyimpan sahaja angka tersebut.

“Lebih elok Lid simpan anggaran dia kat rumah sahaja. Buat apa nak buat kenyataan tidak berdasarkan fakta untuk mengelirukan rakyat?” kata Najib.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here