Kuala Lumpur,Mei-
Polis merampas lebih 213 kilogram (kg) serbuk dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dianggarkan bernilai RM33.6 juta dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Sentul, di sini kelmarin.
Dalam serbuan pada jam 3.50 petang itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman turut menahan dua lelaki tempatan berusia 33 dan 32 tahun.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin, berkata siasatan mendapati unit kondominium yang disewa dengan kadar RM2,000 sebulan itu dijadikan tempat pembungkusan serbuk MDMA sebelum bahan terlarang itu dipasarkan.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis menemui 13 bekas plastik berisi serbuk MDMA seberat 199.7kg serta 499 paket plastik berisi dadah jenis jus MDMA seberat 13.6kg dengan berat keseluruhan 213.4kg.”Serbuk dadah berkenaan akan dipaketkan sebagai dadah jenis jus mengandungi MDMA seberat 27 gram (g) setiap paket dan dijual dengan harga antara RM300 hingga RM600 sepaket untuk pasaran tempatan terutama pusat-pusat hiburan sekitar Lembah Klang selain pasaran di Sabah dan Sarawak.
“Keseluruhan dadah yang dirampas ini dianggar bernilai RM33.65 juta dan boleh digunakan kira-kira 700,000 orang penagih dadah.





















