Pemilik kapal mohon agihan segera peruntukan dalam Belanjawan 2021

Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) telah memohon pengagihan segera peruntukan sebanyak RM3.7 bilion dalam Belanjawan 2021 selepas mendapat kelulusan untuk Skim Pembangunan Maritim dan Logistik bagi menghidup dan mencergaskan kembali industri perkapalan.

Ia menyifatkan peruntukan untuk skim berkenaan bersama-sama Skim Pembiayaan Pembangunan Mampan, Skim Infrastruktur Pelancongan serta Dana Pengangkutan Awam adalah jawapan kepada senarai harapan Belanjawan 2021 MASA.

Namun, pengerusi MASA Datuk Abdul Hak Md Amin mengakui keperluan setiap industri perlu terus dikaji terutamanya mengenai pembahagian peruntukan.

“Diharapkan sebahagian besarnya akan disalurkan kepada maritim dan akhirnya kepada syarikat perkapalan dan limbungan kapal,” kata beliau.

Beliau berkata kerajaan perlu memberikan penjelasan mengenai pengagihan peruntukan kerana ia sememangnya telah lama dinantikan oleh industri.

“Sebelum ini, terdapat peruntukan untuk industri maritim tetapi setakat ini, kami tidak nampak ia digunakan oleh industri…banyak sangat syarat yang tidak jelas,” tambah beliau.

Pada 17 September, 2019, kerajaan telah melancarkan kembali Dana Maritim (MF 2.0) bernilai RM1.5 bilion menerusi Bank Pembangunan Malaysia Bhd, bertujuan memodenkan sektor maritim negara.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Skim Pembangunan Maritim dan Logistik, Skim Pembiayaan Pembangunan Mampan, Skim Infrastruktur Pelancongan dan Dana Pengangkutan Awam akan dilanjutkan sehingga 31 Disember, 2023.

Selain daripada itu, menteri itu berkata RM500 juta daripada skim-skim ini diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera untuk meningkatkan penglibatan mereka dalam sektor-sektor utama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here