Dua sungai lepasi paras bahaya

Dua sungai di Terengganu masih melepasi bacaan paras bahaya susulan hujan berterusan sejak kelmarin.

Berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, sehingga jam 5.30 petang semalam, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu mencatatkan bacaan 21.05 meter iaitu melepasi paras bahaya 21 meter.

Bagaimanapun, ia menurun berbanding bacaan pada jam 9.30 pagi iaitu 21.67 meter.

Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman juga masih melepasi paras bahaya iaitu 21.54 meter, bagaimanapun bacaannya menurun berbanding pada sebelah pagi iaitu 21.79 meter.

Sementara Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu pula mencatatkan bacaan 12.49 meter, melepasi paras amaran iaitu 12 meter manakala Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu turut melepasi paras amaran 18.70 meter dengan merekodkan bacaan 19.02 meter.

Di Setiu pula, bacaan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri sudah melepasi paras waspada 7.60 meter iaitu 8.12 meter.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca bahaya peringkat merah dengan hujan sangat lebat dijangka berterusan di beberapa kawasan di Terengganu berkuat kuasa mulai tengah malam kelmarin hingga semalam.

Jabatan Pengairan dan Saliran pula mengeluarkan amaran banjir lembangan Sungai Terengganu yang dijangka akan bermula pada jam enam petang semalam di Sungai Tersat, Hulu Terengganu.

Antara lokasi yang dijangka banjir adalah Kilometer 11 Jalan Sekayu, Kampung Lubuk Paih, Kampung Pelandan, Kampung Cheting dan kawasan sekitarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here