200,000 warga asing bolos tidak benar-Imigresen

Jabatan Imigresen menafikan laporan sebuah akhbar tempatan bertajuk “200,000 warga asing bolos” yang disifatkan tidak benar dan tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Ketua Pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memandang serius isu itu kerana laporan berkenaan mampu memberi persepsi salah dalam usaha agensi penguatkuasaan menjalankan tugas membanteras kegiatan sindiket pendatang asing tanpa izin (PATI).

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menjalankan usaha membanteras kegiatan sindiket berkaitan PATI, termasuk melakukan kerja perisikan, operasi penguatkuasaan dan perkongsian maklumat dengan agensi lain.

“Bagi tahun ini, bermula 1 Jan hingga 18 Nov, seramai 34,529 pendatang tanpa izin ditahan daripada 90,292 orang yang diperiksa melalui 6,300 operasi penguatkuasaan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, beliau berkata, 376 majikan ditahan dalam tempoh sama.

“Dalam hal ini, Jabatan Imigresen bekerjasama rapat bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam usaha melumpuhkan sindiket yang membabitkan ejen pendatang tanpa izin dan pegawai imigresen sendiri.”

Katanya, jabatan itu tidak akan berkompromi terhadap apa jua bentuk kegiatan melanggar undang-undang dan akan memastikan usaha membanteras sindiket PATI serta aktiviti tidak berintegriti sentiasa dilaksanakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here