Isu akaun 1 KWSP, moratorium, kini terpulang pada PN

Barisan Nasional menggunakan “segala saluran” bagi mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP secara “one-off” dan melanjutkan moratorium ke atas pembayaran pinjaman bank secara automatik dan pukal, dan kini terpulang kepada Perikatan Nasional melaksanakannya, kata Najib Razak.

Selain membawa 2 tuntutan itu di Parlimen dan berkempen di media sosial, ketua Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional itu juga bertemu dan berbincang dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pada awal minggu ini untuk mengariskan langkah bagaimana ia boleh dilaksanakan.

Menurut Najib, ia bole dilaksanakan tanpa memberi impak besar kepada simpanan masa tua pencarum, bank-bank, belanjawan atau kewangan kerajaan dan kenapa ianya mampu menyelamatkan ekonomi negara.

“Secara jujur, BN telah menggunakan segala saluran sedia ada untuk menegaskan kenapa kedua-dua keperluan ini perlu ditambah baik dan dilaksanakan dengan serta-merta seiring dengan hasrat rakyat. Soal nak buat atau tidak kini berada dalam tangan pemimpin tertinggi kerajaan PN maka terpulanglah kepada mereka.

“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” tulisnya di Facebook.

Najib pada Selasa lepas mengumumkan sokongan ahli Parlimen BN kepada Belanjawan 2021 tertakluk kepada pindaan dibuat.

Syaratnya ialah kerajaan membolehkan pencarum mengeluarkan sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP secara “one-off”, dan meluluskan moratorium automatik untuk bayaran balik pinjaman bank selama 6 bulan.

BN mempunyai 43 ahli Parlimen dan sokongan mereka amat diperlukan perdana menteri untuk Belanjawan 2021 diluluskan memandangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya mempunyai majoriti 2 kerusi di Dewan Rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here