Anggota PGA maut ditembak sindiket penyeludupan?

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand maut dipercayai ditembak, awal pagi tadi.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut kejadian itu, beliau dilapor dalam perjalanan ke Perlis bagi melawat mangsa serta meninjau keadaan di sana.

“Ya, saya sahkan kejadian (anggota PGA maut ditembak) dan saya sedang dalam perjalanan ke sana (Perlis) untuk meninjau keadaan anggota PGA terlibat,”.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi tadi, mangsa, Koperal Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dengan mangsa yang cedera sedang dirawat dan dilaporkan kritikal.

Anggota PGA yang sedang melakukan kawalan di pos sempadan dipercayai diserang dari arah negara jiran oleh anggota sindiket yang kemudian bertindak melarikan diri.

Dikatakan tindakan pihak berkuasa Malaysia mengetatkan kawalan sempadan terutama di Perlis dan Kedah sejak Mac lalu, menyukarkan kegiatan penyeludupan terutama membabitkan sindiket dadah dan ketum lumpuh.

Sindiket sama turut dipercayai melepaskan tembakan amaran ke arah anggota PGA yang sedang melakukan rondaan sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah, 13 November lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here