Lelaki maut ditetak di flat Intan Baiduri

Seorang lelaki ditemui maut dipercayai ditetak di sebuah blok di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Intan Baiduri di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian pada jam 8 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun datang ke PPR berkenaan bersama rakannya untuk memasang khemah.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai pergi ke Blok E untuk membeli makanan.

“Dua suspek menaiki motosikal, salah seorang daripadanya telah turun daripada motosikal dan menetak mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Eng Lai berkata, mangsa kemudian melarikan diri ke Blok B yang terletak kira-kira 500 meter.

“Mangsa dipercayai rebah di koridor luar Blok B sebelum ditemui orang awam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menahan seorang penganggur berusia 25 tahun yang juga penghuni PPR berkenaan bagi membantu siasatan.

“Kita masih menyiasat motif kejadian. Setakat ini, kita belum menemui senjata yang digunakan dalam kejadian ini,” katanya.

Eng Lai berkata, mayat mangsa dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Kita sedang mengesan saksi yang melihat kejadian itu untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here