PUTRAJAYA –
Kabinet melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberi kelonggaran pengambilan lebih ramai pekerja asing kepada syarikat pengeluar penutup hidung dan mulut bagi membolehkan mereka menghasilkan lebih banyak produk itu dalam mengawal penularan kluster COVID-19, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa tertinggi pengurusan bencana pusat berhubung kluster COVID-19 di Perdana Putra di sini hari ini, beliau berkata perkara itu akan diuruskan KDN bersama Kementerian Sumber Manusia dalam waktu terdekat.
Jelasnya, sebelum COVID-19, penggunaan penutup hidung dan mulut hanya dalam kalangan petugas kesihatan sahaja. Namun permintaan meningkat mendadak berikutan penularan COVID-19.
Beliau berkata pengeluar memberitahu mereka perlu beroperasi selama 24 jam dalam tiga syif bagi meningkatkan pengeluaran.
“Bagaimanapun kawalan terhadap jumlah kemasukan (pekerja asing) akan tetap dikenakan kerana kerajaan tidak mahu kebanjiran pekerja asing,” katanya.
Dr Wan Azizah berkata langkah mengawal selia bekalan dan harga jualan penutup hidung dan mulut di pasaran telah diambil bagi menghalang pembelian produk itu secara pukal dan dibawa ke luar negara.