Malaysia kembali ‘bernyawa’

Malaysia kembali ‘bernyawa’ sejak kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah di seluruh negara tanpa kebenaran polis kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa 7 Disember lalu.

Pusat Membeli Belah Central I-City dan AEON Bukit Raja di sini mendapati, orang ramai menggunakan kesempatan cuti hujung minggu dengan meluangkan masa bersama keluarga dalam norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).Ada juga dalam kalangan ibu bapa dilihat membawa anak-anak membeli barangan kelengkapan sekolah untuk digunakan pada tahun hadapan.

Menurut seorang pekerja di kedai barangan aksesori, Siti Nurzaihan Iskandar, 29, bilangan pengunjung di pusat membeli-belah berkenaan mulai bertambah sejak kelmarin sekali gus melegakan para peniaga.

“Walaupun bilangan pengunjung tidak seramai kebiasaan, namun jumlah kehadiran yang semakin meningkat dan agak memberi kelegaan buat kami,” katanya di sini pada Ahad.Sementara itu, salah seorang pengunjung, Muhammad Zafrul Mohd Isa, 34, berkata, beliau menggunakan kesempatan cuti hujung minggu itu dengan meluangkan masa berjalan bersama keluarga di pusat membeli-belah terbabit.

 Katanya, bagaimanapun, beliau dan isteri sentiasa berwaspada dan mengingatkan anak-anak agar mengamalkan pemakaian pelitup muka serta cecair pembasmi kuman.

Di RANTAU PANJANG, pekan itu kembali meriah dengan kehadiran pengunjung setempat termasuk dari luar Kelantan sama ada untuk membeli-belah mahupun menjamu selera.Penjual kekacang, Al Aswad Omar, 38, berkata, sepanjang tempoh 20 tahun berniaga di pekan Rantau Panjang, itu kali pertama dalam ‘sejarah’ hidupnya sebagai peniaga terpaksa menutup perniagaan dalam tempoh agak lama sepanjang PKPB.

Katanya, walaupun sektor ekonomi masih dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh PKPB lepas, beliau serta beberapa peniaga lain mengambil keputusan menutup perniagaan bagi mengelakkan menanggung risiko kerugian.

 “Sepanjang tempoh PKPB, saya terpaksa merehatkan dua pekerja memandangkan tidak mampu untuk membayar gaji mereka sekitar RM50 sehari kerana tiada jualan sepanjang tempoh itu

“Bagaimanapun, sejak kerajaan membenarkan orang ramai rentas negeri dan daerah, ramai pengunjung mula datang ke pekan ini sejak semalam sekali gus menjana semula pendapatan peniaga yang terjejas teruk sebelum ini,” katanya.

Di PORT DICKSON, pantai peranginan Teluk Kemang dan Pantai Port Dickson kembali sibuk dengan kehadiran pengunjung yang singgah untuk bermandi-manda dan riadah.

Pengusaha khemah dan bot yang hanya mahu dikenali sebagai Amy berkata, pengunjung memenuhi Pantai Teluk Kemang sejak Jumaat lalu dan semakin ramai pada Sabtu dan Ahad.

“Sebelum ini, kedua-dua pantai itu hanya dikunjungi penduduk tempatan tetapi sejak dua hari lalu, Alhamdulillah pengunjung sudah mula memenuhi pantai dan semakin meriah dengan orang mandi-manda,” katanya.

Sementara itu, peniaga pakaian, Hasnizah Husain, 40, berkata, hasil perniagaannya semakin baik berbanding dalam tempoh PKPB.

“Kalau dulu hendak dapat RM20 sehari pun susah. Namun sejak Jumaat lalu Alhamdulillah ada perubahan,” katanya.

Di LUMUT, Industri pelancongan di Pulau Pangkor kembali rancak apabila menerima kedatangan pelancong domestik yang tinggi sejak Jumaat lalu.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pulau Pangkor, Munir Shaari berkata, hampir kesemua bilik penginapan di hotel dan resort di pusat peranginan bebas cukai itu habis ditempah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here