Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim menegaskan beliau tidak akan merayu terhadap keputusan pemecatannya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bekas Ketua Pemuda AMANAH Perak itu berkata beliau akan menerima keputusan itu walaupun hanya mengetahuinya menerusi media yang melaporkan kenyataan Setiausaha Bersatu negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.
“Saya memang tidak tahu dipecat dan hanya diberitahu dipecat di media, tetapi secara rasminya belum saya terima lagi.
“Jadi, saya memegang dan mengambil apa kenyataan media (berkenaan pemecatan) yang dikeluarkan oleh Datuk Zainol itu.
“Saya akan menerima keputusan itu, tetapi saya tidak akan merayu,” dipetik BH.
Hasnul disahkan keahlian Bersatu dengan nombor 00448606 pada 3 Jun tahun lalu selepas mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas pada 9 Mac 2020.
Dua lagi wakil rakyat yang berbuat tindakan sama ialah ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong dan Adun Buntong A Sivasubramaniam, kedua-duanya daripada DAP.
Ekoran tindakan mereka, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak tumbang pada 9 Mac dan Datuk Seri Ahmad Faizal mengumumkan Perikatan Nasional (PN) negeri terdiri daripada Umno, Pas dan Bersatu mendapat sokongan 32 Adun bagi membentuk kerajaan baharu.
Sementara itu, Zainol Fadzi mengesahkan Hasnul sudah dipecat daripada Bersatu sejak Disember tahun lalu selepas beralih sokongan ketika perubahan Menteri Besar.
Hasnul menandatangani akuan bersumpah menyokong Datuk Saarani Mohamad daripada Umno sebagai Menteri Besar, menggantikan Ahmad Faizal Azumu.